Assala Muaalaikum

Assala Muaalaikum.. .And Peace Be Upon U, Thank For Visiting This Site


Assalamu Alaikum Dan Salam Sejahtera......SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU......Jangan Lupa SOP KeNDIRI ...



Terima Kasih, sudi mengunjungi site ini..

Isnin, 18 Jun 2012

Oxford sokong Waqaf Korporat


Oxford sokong Waqaf Korporat

 http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

 

Waqaf Korporat semakin mendapat perhatian masyarakat. Baru-baru ini Pengerusi Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Tun Musa Hitam mengumumkan satu Persidangan WIEF akan diadakan di Johor Bahru pada Disember 2012.
Beliau menyatakan persidangan tersebut akan turut memberi tumpuan kepada wakaf sebagai institusi yang boleh meningkatkan ekonomi umat Islam selain daripada perbankan dan kewangan Islam yang telah diterima pakai di seluruh dunia, terutama atas inisiatif Malaysia.
Bangsa Melayu dan umat Islam selama ini menyedari pentingnya wakaf sebagai satu amal ibadah yang turut membawa impak besar, terutama dalam membela nasib golongan miskin. Menerusi wakaf orang yang berada dan berharta dapat meningkatkan amal ibadah dengan mengorbankan sebahagian harta kekayaan untuk disumbang kepada kebajikan golongan yang memerlukan.
Amalan berwakaf mendapat sambutan di kalangan masyarakat, antara lain untuk menepati Hadis Rasulullah SAW yang menyatakan setelah mati anak Adam, tidak ada yang boleh menolongnya melainkan tiga perkara: iaitu ilmu yang dimanfaatkan, doa anak yang soleh dan sedakah jariah yang membawa manfaat berterusan, termasuk wakaf.
Kini masyarakat diperkenalkan pula kepada institusi Wakaf Korporat, iaitu satu inovasi besar kepada wakaf bertujuan memperbaharui peranan bisnes dan organisasi korporat. Matlamat akhir Waqaf Korporat, selain membolehkan badan korporat berjaya menghimpun harta kekayaan mengikut kaedah bisnes sama seperti badan korporat lain, Waqaf Korporat yang dimiliki umat Islam juga dapat digunakan untuk merapatkan jurang kaya-miskin yang semakin melebar, bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia. Jurang ekonomi dan sosial adalah antara punca utama berlakunya konflik di dunia hari ini, khasnya di kalangan umat dan negara Islam.
Waqaf Korporat juga satu kaedah membasmi kelemahan sistem ekonomi kapitalis Barat yang mengakibatkan ketidakadilan melampau dalam agihan harta kekayaan dan sumber ekonomi. Selain itu, Waqaf Korporat berkewajipan menjayakan program fi sabilillah dan program kebajikan. Pengalaman Waqaf Korporat di Malaysia membuktikan amalan ini berupaya melakukan semua itu, bukan sahaja untuk manfaat umat Islam, malah untuk semua warganegara pelbagai bangsa dan agama.
Contoh terbaik Waqaf Korporat di Malaysia ialah Waqaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp) yang ditubuhkan oleh Johor Corporation (JCorp). Pada Ogos 2006 JCorp mewakafkan sebahagian saham PLC miliknya bernilai RM200 juta kepada WANCorp.
Pada akhir 2011, nilai keseluruhan aset wakaf milik WANCorp meningkat kepada RM538.5 juta. Bayangkan jika terdapat sepuluh organisasi Waqaf Korporat seumpama WANCorp di seluruh negara - saya yakin masalah kemerosotan dan kelemahan ekonomi Melayu serta masalah ketidakadilan sosial, insya-Allah dapat kita atasi bersama!
WANCorp juga sangat aktif mengendalikan program amal kebajikan. Rangkaian Klinik Waqaf An Nur terkenal dengan program kebajikan yang mengenakan bayaran hanya RM5 untuk khidmat doktor serta ubat-ubatan. Seramai lebih 800,000 pesakit telah mendapat manfaat daripada program anjuran wakaf daripada rangkaian 17 klinik di seluruh negara sejauh ini.
Paling menarik perhatian, sekalipun klinik wakaf ini ditempatkan di masjid-masjid, lebih 50,000 pesakit miskin bukan Muslim turut mengunjunginya untuk mendapatkan rawatan perubatan murah.
Antara projek kebajikan lain yang membawa impak besar ialah Waqaf Dana Niaga untuk membantu masyarakat berpendapatan rendah mendapat peluang niaga kecil-kecilan dengan pinjaman modal tanpa faedah qardul hasan. Sejauh ini ramai usahawan baharu telah dilahirkan termasuk suri rumah dan ibu tunggal, sekali gus mengurangkan masalah sosial dan tekanan hidup masyarakat khasnya di bandar-bandar.
Pengalaman WANCorp dan manfaat yang dibawanya jelas membuktikan kehebatan Waqaf Korporat dan potensi jangka panjangnya dalam pembangunan ekonomi negara, khasnya dalam meningkatkan tahap pencapaian ekonomi bangsa Melayu dan merapatkan jurang ekonomi antara kaum.
Kini kehebatan WANCorp dan potensi besar konsep Waqaf Korporat turut mendapat perhatian dan pengiktirafan antarabangsa, khasnya Universiti Oxford di Britain.
Dalam satu kajian melalui Said Business School yang diterbitkan pada Disember 2010, Universiti Oxford mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara Islam terulung dalam memperkenal pembaharuan institusi ekonomi Islam, khasnya dalam bidang kewangan dan perbankan Islam. Universiti Oxford berpendapat, kini Malaysia sekali lagi mendahului dengan inisiatif terbaharu, melalui usaha gigihnya memperkenalkan institusi Waqaf Korporat.
Dalam penerbitan bertajuk "Satu kajian ke atas Strategi Korporat Waqaf Johor Corporation di Malaysia" (A Study on Johor Corporation's Corporate Waqf Strategy in Malaysia) Universiti Oxford dengan tegas menyatakan: "… Malaysia telah membuktikan ia adalah pengibar bendera dalam kewangan Islam dan pembangunan serta perundangan model bisnes Islam… Didapati Waqaf Korporat adalah satu kaedah inovasi memodenkan dan menggunakan konsep wakaf tradisional untuk mencapai matlamat bisnes dan korporat."
Kajian ini menambah: "… kajian kes (Waqaf Korporat) JCorp mendapati Jihad Bisnes, Waqaf Korporat dan (pembangunan) usahawan sangat berkesan dan jauh melebihi apa yang mungkin boleh dicapai dengan menggunakan kaedah pembangunan ekonomi konvensional dan pendekatan pacuan dasar biasa (known policy-driven methods)."
Universiti Oxford bukan sahaja mengiktiraf keberkesanan Waqaf Korporat dalam mengembangkan keupayaan bisnes umat Islam malah setelah mengkaji program fi sabilillah dan kebajikan WANCorp, universiti ini berpendapat Waqaf Korporat juga sangat berkesan dalam menyampaikan manfaat kepada masyarakat yang memerlukan pembelaan menerusi program tanggungjawab sosial korporat.
Kajian Universiti Oxford menyimpulkan: "… apabila dibandingkan dengan seluruh amalan industri di Malaysia, didapati (Waqaf Korporat) berprestasi lebih baik dalam membawa impak daripada aktiviti yang dijayakan oleh badan korporat yang setaraf dengannya, khasnya berkaitan tanggungjawab sosial dan derma kebajikan korporat (corporate philanthropy)."
Kesimpulannya, tiba masanya Waqaf Korporat dijadikan institusi utama dalam strategi pembangunan ekonomi Malaysia dan semua negara Islam. Pembaharuan strategi ini sangat kritikal dalam usaha negara Islam memperbaiki kehidupan masyarakat masing-masing. Tanpa pembaharuan kita akan terus menjadi negara yang dihantui ketidakadilan dan kezaliman ekonomi.
Kita juga mudah dijangkiti kerosakan sosial dan konflik politik akibat menciplak kapitalisme Barat seperti yang nyata kelihatan berlaku di Barat setelah dirosakkan sistem kapitalis liar, buas dan rakus.
Sokongan dan pengiktirafan Universiti Oxford terhadap pembaharuan institusi wakaf menerusi Waqaf Korporat memberi umat Islam Malaysia satu peluang luar biasa. Menerusi Waqaf Korporat kita dapat menambah kepada impak yang telah dibawa oleh kewangan dan perbankan Islam untuk menegakkan keadilan dan mengislamkan kehidupan ekonomi umat.
Kejayaan Waqaf Korporat akan sekali lagi membuktikan sesungguhnya Malaysia mampu meneruskan inovasi ekonomi Islam untuk manfaat dan kebaikan umat Islam khasnya dan seluruh umat manusia amnya.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan