APABILA seramai 1,100 perwakilan melangkah ke Kolej Universiti  Zulkifli Muhammad di Taman Melewar, Gombak pada Jumaat ini, mereka tidak  harus melupakan fakta berikut:
‘‘Kemunculan Pas dalam sejarah politik tanah air telah bermula  semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulama yang bersidang di Kuala Lumpur  bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulama  Se-Malaya. Ia kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaysia  (Pas) pada 24 November 1951.’’
Catatan sejarah ini tidak boleh dipadamkan oleh mana-mana juga  pemimpin atau ahli Pas dalam mereka meneruskan kesinambungan perjuangan  kepimpinan terdahulu.
Atas sebab itulah apabila mereka hendak melakukan pemilihan barisan  kepimpinan, nawaitu dan tindakan mereka perlu berasaskan kepada kemahuan  sendiri serta memastikan Pas tidak dicemari atau dipengaruhi oleh  sebarang elemen luar.
Bagaimanapun sekarang ini sudah ada kebimbangan bahawa Pas kini  bukanlah Pas dahulu, Pas sekarang dilihat semakin tenggelam dengan  perjuangan Islamnya dan paling meresahkan sudah ada percaturan politik  pihak luar bagi menentukan barisan kepimpinan parti tersebut.
Apa yang paling ketara berbanding pemilihan-pemilihan parti sebelum  ini, suara yang kononnya mahu menjadikan Pas lebih progresif semakin  lantang.
Dalam keghairahan itu, kelompok kepimpinan ulama menjadi sasaran  untuk dijatuhkan dan ia semakin ‘mengerikan’ apabila percaturan turut  melibatkan langkah memperluaskan ‘jajahan pengaruh politik’ pemimpin di  luar Pas. Ini jelas apabila wujudnya apa yang dipanggil ‘Anwarinas’ -  iaitu satu kumpulan di dalam Pas yang pro kepada Ketua Umum Parti  Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kelompok ‘Anwarinas’ ini seperti mana didedahkan oleh Ahli Parlimen  Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin akan menterjemahkan apa yang telah  mereka rancang sejak 2008 pada pemilihan kepimpinan Pas dalam muktamar  kali ini bagi menukar saf kepimpinan parti itu yang sekian lama dikuasai  oleh para ulama.
Dalam soal ini, kita tidak perlu menyebut siapa yang dimaksudkan  oleh Zulkifli tetapi perwakilan dan ahli Pas boleh menilai sendiri  senarai calon yang bertanding.
Dengan hati dan fikiran yang tenang mereka boleh mengetahui siapakah  kelompok pro Anwar dalam Pas yang kini semakin ghairah untuk merebut  jawatan dalam parti itu.
Kelompok-kelompok ini jika difikirkan secara tidak langsung sudah  banyak membawa keburukan kepada Pas sejak parti tersebut bekerjasama  dengan PKR dan DAP.
Mereka ini tidak lagi mementingkan perjuangan apatah lagi idealisme  Pas sebaliknya lebih menitik beratkan bagaimana hendak berkuasa sahaja.  Sebab itulah apabila berhadapan dengan isu-isu politik tertentu,  pemimpin-pemimpin ini akan dilihat menyebelahi Anwar, PKR dan DAP tanpa  mempertimbangkan lebih dahulu kesannya kepada Pas.
Kesudahannya, Pas dilihat hanya menjadi kuda tunggangan kepada  kedua-dua parti tersebut dan sekali gus mencemarkan kepimpinan ulama  dalam Pas.
Punca
Sikap tidak konsisten Pas adalah berpunca daripada mainan kumpulan  pro Anwar di dalam parti itu yang bukannya menyebarkan semangat ukhuwah  Islamiah sebaliknya meletakkan keuntungan politik mengatasi  segala-galanya.
Sebab itulah, dalam pemilihan kali ini mereka menyusun strategi dan  gerak gempur yang lebih rapi dan tersusun. Mereka mahu memastikan  ulama-ulama atau mana-mana pemimpin yang tidak menyebelahi mereka  ditamatkan riwayat politiknya dalam pemilihan berkenaan.
Perancangan mereka menjadi lebih mudah apabila ada di kalangan  pemimpin utama di dalam Pas yang merestui hasrat mereka untuk merebut  jawatan.
Walaupun dari segi tindak tanduk dan kata-kata ia tidak mencerminkan  sikap sebenar sebagai pemimpin Islam tetapi semua itu sudah tidak lagi  menjadi kriteria.
Apa yang lebih penting bagi kelompok ini, dengan kedudukan Pas yang  dilihat agak ampuh dalam arena politik negara maka pemilihan kali ini  dilihat detik terbaik untuk mereka melaksanakan ‘agenda penjajahan  politik’ dengan menjadikan Anwar sebagai idola.
Semua keadaan ini seharusnya menyedarkan perwakilan-perwakilan Pas  bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan undi mereka  tidak membuka ruang kepada ‘penjajahan politik’ tersebut. Walaupun hanya  satu undi, ia bakal menjadi penentu kepada kesinambungan perjuangan Pas  selepas ini.
Mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal  Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed  Mustafa Ishak berkata, Pas memerlukan pemimpin yang dapat membantu  Presiden dan kepimpinan Pas secara bebas dan bijaksana tanpa perlu  mengikut telunjuk proksi atau mana-mana pihak.
‘‘Di sinilah delegasi ke muktamar perlu merenung dan memilih barisan  kepimpinan yang dapat mempertahankan Pas sebagai sebuah wacana  perjuangan Islam tulen yang tidak gentar mempertahankan prinsip-prinsip  Islam dan bukannya menjadi parti submisif dan bersifat apologetik kepada  mana-mana pihak yang menentang Islam serta prinsip-prinsipnya,’’ kata  beliau.
Justeru perwakilan Pas perlu memastikan pemilihan kali ini sebagai  titik tolak untuk menghentikan pengaruh Anwarisme atau kelompok  Anwarinas dalam parti itu.
Pemimpin-pemimpin yang dilihat hanya ‘berkulitkan’ Pas tetapi jiwa  dan minda ‘dijajah’ dan dikuasai oleh pihak lain perlu ditolak  habis-habisan. Mereka juga harus mempunyai keberanian untuk menyuarakan  kebimbangan mengenai pengaruh Anwarinas ini dalam pembahasan termasuklah  mendesak Pas supaya lebih tegas menyatakan pendirian berhubung isu  melibatkan Anwar. Perwakilan tidak harus membenarkan Anwar terus  mengembangkan pengaruhnya dengan memperkudakan pemimpin-pemimpin  tertentu dalam parti tersebut.
Pas dilahirkan, dibesarkan dan disanjung kerana pengorbanan golongan  ulama yang menempuh pelbagai cabaran bagi memartabatkan parti itu. Oleh  itu wajarkah apabila parti tersebut sudah mantap, berkembang dan  digeruni maka golongan ulama mahu dicampak begitu sahaja hanya kerana  terpengaruh dengan percaturan politik Anwar, PKR dan DAP?
Berkiblat
Perwakilan Pas perlu memahami bahawa jika terdapat kelemahan  kepimpinan dalam parti tersebut, merekalah yang berhak memperbetulkannya  dan bukannya orang luar.
Tindakan memilih pemimpin-pemimpin yang dilihat lebih ‘berkiblatkan’  Anwar dan terlalu menyanjungi hubungan dengan PKR dan DAP sehingga  mengorbankan prinsip perjuangan parti sendiri hakikatnya hanya membuka  ruang kepada berakhir kepimpinan ulama dalam Pas.
Memperkatakan lebih lanjut perkara ini, pemimpin dan ahli Pas yang  masih sayangkan parti tersebut perlu menyingkirkan sindrom penafian  dengan menganggap kewujudan puak Anwarinas atau kumpulan pro Anwar  sebagai mainan media arus perdana.
Mereka perlu mengkaji dan menilai apakah ia hanya satu rekaan atau  realiti memandangkan seperti mana didedahkan bekas Ahli Jawatankuasa  Dewan Ulama Pas, Prof. Madya Mohd Noor Deris bahawa, ‘‘ombak besar yang  dibawa oleh kumpulan yang berkiblatkan Anwar seolah-olah tidak lagi  mampu ditampung oleh kumpulan yang setia kepada Datuk Seri Abdul Hadi  Awang’.’
‘‘Mereka mungkin lemas di dalam gulungan ombak berkenaan. Jika benar  itu berlaku, saya ingin menyarankan kepada pengikut ‘totok’ Pas,  bersedialah untuk menjunjung kepimpinan yang berkiblatkan Anwar yang  begitu rakus kononnya untuk membawa perubahan di dalam parti dengan  pelbagai muslihat dan tipu daya lain,’’ katanya.
Bagi mengelak semua itu berlaku, perwakilan sepatutnya sudah faham  dan mengetahui sejak pilihan raya umum lalu siapakah di kalangan  pemimpin-pemimpin yang dimaksudkan oleh Mohd. Noor. Tindak-tanduk  kelompok berkenaan begitu ketara sekali apabila berhadapan dengan isu  melibatkan Anwar dan lebih menjaga hati pemimpin-pemimpin DAP.
Lebih malang lagi ada antara mereka tidak mencerminkan peribadi  sebagai seorang pemimpin yang mewakili sebuah parti Islam apabila  kata-kata yang dihamburkan penuh dengan maki hamun dan caci nista.
Malahan ada pula antaranya semata-mata demi kepentingan politik  sanggup bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin DAP mengugat kedudukan  orang Melayu. Permainan politik kebencian yang dipelopori oleh PKR turut  ‘merasuk’ sebahagian daripada mereka sehingga sesiapa sahaja yang cuba  berbaik-baik dengan pemimpin-pemimpin UMNO biarpun hanya untuk minum  secawan kopi pun akan ditentang habis-habisan.
Apa pun orang luar hanya boleh memberi pandangan dan nasihat terserahlah kepada perwakilan Pas untuk membuat keputusan.
Apa yang pasti jika mereka masih menganggap ancaman Anwarinas  hanyalah satu mainan atau ciptaan musuh politik mereka, maka mereka juga  perlu bersedia untuk bertanggungjawab menjadi penyumbang kepada  kejatuhan kepimpinan ulama dalam Pas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan